Doa
-->
Skip to main content
🥐🥐🥐
“Mama, mama kat mana !” Pandangan sekeliling
nya kini gelap, kelam ibarat langit ditutupi malam. Azalea cuba menjerit
memanggil ibunya yag sedari tadi tidak ingin menyahut panggilannya. Dia
ketakutan dan meraba-raba sekeliling mengharapkan ada sesuatu yang boleh dia
berpaut. Habis lencun badannya dengan peluh asbab ketakutan, panik dan penat.
“Tolonglah
sesiapa! mama, babah, abang. Lea takut!” Jerit Azalea bersungguh kepada insan
yang sentiasa terpahat dihatinya. Puas dia menjerit meminta tolong, kelihatan
cahaya putih daripada celah sebuah pintu yang berada di hadapannya. Lantas dia
meraba-raba dengan rakus pintu itu mencari tombol untuk dipulas. Dengan sekali
pulas, pintu tersebut dapat dibuka. Sekilas itu, dia memandang sekujur tubuh
mama dan babahnya yang sedang berdiri tersenyum senang melihatnya.
“Mama, Babah! Penat Lea cari merata tadi, kat
sini rupanya!” Azalea kelegaan. Tanpa membuang masa dia mula menapak ke arah
insan kesayangannya.
Tidak
semena-mena, kakinya ibarat tenggelam di dalam jerlusanpasir putih yang berada
di dalam kamar itu.
“Mama, Babah,
Tolong Lea! Eh kenapa ni?!” sambil menghulurkan tangannya pada ibu bapanya.
Malangnya mereka hanya membiar sepi sahaja huluran tangan anak mereka tanpa
memberikan sebarang pertolongan. Azalea memandang mereka dengan wajah beriak
kecewa.
“Sampainya hati mama dengan babah! Tidaaakkkkkk!”
“Lea,” sekali
goncang masih tida tanda untuk si gadis yang mengerekot di atas katil itu
bangun, tidak semena-mena gadis yang sedang lena diulit mimpi itu menjerit, “tidakkk!”. Terusap dada si tukang kejut
dibuatnya . “Azalea Binti Azzri! Bangunlah!” Kesabarannya sudah mencapai tahap. Sudahnya
dia memanggil nama penuh makhuk di hadapan matanya tika itu lagak mak-mak.
Akhirnya Azalea pun tersedar daripada lenanya dengan gaya dramatik sepertinya
telah alami mimpi yang sangat buruk. Memang pun.
“Ya Allah adik,
dah kenapa menjerit bagai nak rak je tadi?” Soal Azzhael, satu-satunya abang si
gadis yang baru bangun dari lena itu.
“Sudah itu, siap
pakej menjerit ala Tarzan lagi tengahari buta ni,” Soal si abang ambil berat.
“Ye ke? Lea ada
jerit?” ucap Azalea sambil menguap lalu membetulkan urat sendinya.
“Haish, dia
yang jerit tanya kita pula. Ni nak abang tolong bersiap tak?” soal Azzhael peduli
tentang keadaan adiknya tika ini.
“Eh, tidak
mengapalah bang. Lea dah besarlah nak siap sendiri,” seloroh Azalea tidak mahu
abang nya susah hanya kerana dia kurang upaya semenjak dua bulan yang lalu.
Biarlah dia
lakukan sendiri tidak mahu menyusahkan sesiapa hatta Azzhael biarpun dia adalah
seorang abang yang baik hati, penyayang dan bertanggungjawab.
“Kalau macam
itu, takpelah. Abang tunggu kat bawah je sementara adik bersiap. Kalau nak
apa-apa jerit je nanti abang pecut naik atas demi adik abang ni.” Kedengaran
ikhlas tetapi berbaur sedikit gurauan pernyataan abang kesayangannya itu.
“baiklah bang,
dah keluarlah, shuh,” halau Azalea manja.
“Ingat jangan
lambat hari ini hari besar untuk adik.” Lantas Azzhael menapak keluar dari
bilik serba merah jambu pastel adiknya itu dan pintu pun ditutup meninggalkan
si gadis yang sedang merenung nasib dirinya dengan renungan kecewa dalam hati.
Setelah kelibat abang nya tidak kelihatan, dia pun mendengus kasar. Mengingati
mimpi buruknya sebentar tadi, bertambah lagi rasa kecewanya!
Suasana di persekitaran yang memenuhi koklea
dua beradik itu ketika ini sungguhlah meriah dan juga sedap dipandang mata oleh
kerana pokok yang di potong cantik dan tumbuh meninggi menghalang matahari pada
hari itu memancarkan sinarnya kepada manusia yang berpapasan sekitar taman ini.
Azalea menghirup udara yang segar ini sedalam-dalamnya supaya rasa kecewa di
rumah tadi hilang walau seketika cuma di hari yang penting buatnya hari ini.
Azzhael di belakang adiknya tersenyum gembira melihatkan wajah ceria sang adik
di bawah sinaran mentari yang indah.
“Bang tolaklah
Lea cepat. Nanti lambat pula sampai tempat tu,”
lebih tepat lagi pada hari dan di tempat yang
berpanorama indah kala ini, Azalea turut menyertai pertandingan membakar kek
anjuran Dapur Arina dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat. Dengan
mengadakan pertandingan sebegini dapat memberikan semangat dan memupuk
inspirasi kepada golongan kurang upaya (OKU) untuk menarik lagi minat golongan
ini supaya turut menceburi dan tidak berasa rendah diri dalam bidang pembuatan
roti dan kek atas kekurangan yang ada pada diri mereka.
Azalea tahu
mengenai pertandingan ini pun melalui laman Instagram pempengaruh kesukaannya,
Arina Natalia iaitu pemilik Dapur Arina ini. Dia selalu berharap yang suatu
hari nanti dia juga akan sukses seperti mana Arina Natalia dan ingin memiliki
kedai bakeri idamannya sendiri. Jadi, pertandingan pada hari ini bakal
membuktikan Azalea juga mampu berjaya dalam bidang bakeri ini sementelah itu
cita-citanya sedari kecil lagi walaupun kondisi dia yang sekarang ini tidak
lagi sesempurna manusia lain. Azalea dapat keberanian untuk sertai pertandingan
ini pun asbab abangnya yang selalu memberikan sokongan moral untuk terus
lakukan apa yang dia ingini dan tinggalkan sahaja kekecewaan yang selama ini
menyelubungi diri.
“ Lea dah
sedia? Abang yakin Lea boleh buat yang terbaik. Adik abang ni kan dah hebat
buat-buat kek semua ni,” ujar Azzhael menyalurkan semangat buat adiknya yang nampak
sedikit gentar.
“Lea, rasa
kecewa, duka tu, letak tepi dulu. Yang penting sekarang ini fikir pasal kek apa
yang Lea perlu buat sekejap lagi.” Sambungnya.
“Hahahahah!
Terima kasih bang. Lea dah tak rasa terkucil dah. Lagi satu bang, ini Lea lah!
Sudah semestinya lah dah tahu nak buat kek apa. Abang tunggu dan lihat je!”
Ujar Azalea penuh semangat waja sambil menepuk dada gaya angkuh. Azzhael tertawa
kecil meihat keterujaan adiknya itu. Sementelah itu, pengumuman untuk para
peserta supaya berada di tempat masing-masing sudah kedengaran menandakan
pertandingan akan bermula.
“Cayalah Lea!
Lea Boleh! Yeahh!” Sorak Azzhael.
“Tak perlulah
terlebih dos bang oii. Malulah!” Lantas Azalea menolak sendiri kerusi rodanya
menuju ke arah meja yang tertera nombor kod dirinya. Rata rata peserta pada
hari ini mempunyai kecacatan anggota badan sepertinya juga. Ini menaikkan lagi
semangatnya untuk melakukan yang terbaik.
“Baiklah, para
peserta boleh memulakan penghasilan ‘karya’ masing-masing 30 minit dari
sekarang.”
Dengan itu
bermulalah langkah baru buat Azalea demi mencapai impiannya dengan kondisinya
yang tidak sempurna seperti dahulu lagi. “Bismillah,” dengan anggota yang masih
berfungsi atas izin-Nya, Azalea pun mula menyukat tepung untuk menghasilkan
karya agung miliknya.
Sebulan yang
lepas,
“Mama dengan
babah saya mana!?” Jerit Azalea teresak-esak dalam tangisnya.
“Doktor!
Jawablah!” Jerit Azalea di hadapan muka doktor yang merawatnya. Doktor Elena
tidak mampu jawab soalan si gadis malang itu.
“Ahhh, kalau
doktor tak mahu beritahu, biar saya pergi cari mereka sendiri saja!” Lantas
itu, Azalea pun bertindak menyelak selimutnya dan berura mahu turun dari katil.
Malangnya, sepasang kakinya tiada daya untuk digerakkan sepeti biasa. Tiada
deria rasa.
“Dok..doktor kenapa
kaki saya tak boleh gerak ni? Aahhhhhh!” pecah lagi tangis sang gadis malang di
atas katil itu. Doktor Elena cuba menenangkan Azalea yang dirudung hiba.Erat
pelukkannya terhadap gadis ini cuba untuk menyalurkan semangat. Bagaimanalah
keadaan Azalea sekiranya dia beritahu si gadis ini bahawa ibu dan bapanya telah
pergi menemui ilahi. Tidak mampu terucap kata di bibirnya melihatkan keadaan
Azalea baru saja sedar dari pengsan dan tidak dapat menerima hakikat yang dia
sudah kecacatan separuh anggotanya iaitu bahagian pinggang sehingga ke kaki.
Biarlah dia tenangkan si gadis ini buat seketika. Takziah atas kemalangan yang
berlaku ke atas keluarga gadis ini.
Keesokan
harinya, Azzhael pun tiba di hospital yang dinyatakan oleh Doktor Elena di atas
talian. Dia pun turut rasa sedih yang teramat kerana kehilangan kedua insan
yang tersayang iatu mama dan babah. Kini, dia hanya mempunyai adiknya yang
masih boleh dia sayangi. Nasib Azzhael seorang yang tabah dan kuat. Sepanjang
dia berada di hospital melihatkan adiknya itu, sebak pun senantiasa bertandang.
Dia tidak sanggup untuk melihat adiknya hari-hari menjerit, berteriak kerana
kecewa melhat kondisi dirinya yang baru. Kuatkanlah hati adikku itu Ya Allah!
Keluar saja
dari wad hospital, Azzhael berjanji pada diinya untuk sentiasa di sisi adiknya
dan memulihkan emosi adiknya itu atas nasihat Doktor Elena. Sepanjang sebulan
itulah Azzhael terpaksa rahsiakan kematian ibu bapanya daripada si adik demi
kesihatan mental Azalea sendiri. Risau sahaja dia tidak mahu teruskan hidup lebih-lebih
lagi dirinya sudah dikategorikan dalam golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
“30 minit masa
yang diperuntukkan pun telah tamat. Para peserta sila hentikan segala kegiatan
anda sekarang.” Maka, pertandingan menghasilkan kek pada hari ini pun telah
hampir sampai ke penghujung nya. Azalea pun menghembuskan nafas kelegaannya.
Dia yakin yang dia mampu menang setelah dua minggu dia berlatih membakar kek
dengan bantuan Azzhael. Seperti yang dia sedia maklum, pemenang tempat pertama
bakal membawa pulang kek yang dihasilkan dan juga piala emas eksklusif khas
dari Dapur Arina juga wang sijil penyertaan.
“Kagum abang
tengok Lea buat kek tadi, laju betul. Insha Allah Lea boleh dapat tempat
pertama. Bukan apa, abang nak lah juga rasa kek yang Lea buat tadi, nampak
macam sedap je,” ujar Azzhael kegembiraan.
“Nak makan kek
nya aje yang dia tahu. Janji dia tu jangan lupa pula tunaikan. Kalau Lea menang
nak bawa ke satu tempat ni. Rahsia lah sangat,” kata Azalea sambil mencebik.
“Yelah, abang
tak lupa. Petang ni abang akan bawa Lea,” ujar Azzhael tersengih sambil
mengusap kepala adiknya. ‘Maafkan abang selama ni tak beritahu perkara yang
sebenar tentang babah dan mama,’ bisik hati Azzhael gundah.
Harap, Azalea
tidak menyalahkan takdir dan juga dirinya.
Keputusan pun telah diumumkan buat para
peserta yang menyertai pertandingan membakar kek hari itu. Malangnya, Azalea
tidak berpeluang memenangi hadiah tempat pertama. Rasa kecewa nya makin
menimbun. Sepanjang hari itu, dia hanya menyepikan diri. Peluang untuk
bergambar bersama persona idolanya dibiar begitu saja. Kecewa! Kecewa! Kecewa
sangat!
“Sudah-sudah
lah itu Lea. Bukan rezeki kita hari ini. Janganlah diam je,” sepi menghurung
suasana dalam kereta ketika itu .
Melihatkan
tiada tanda untuk adiknya membalas kata, Azzhael pun turut berdiam memberi
ruang adiknya melampiaskan rasa kecewa yang menggunung. Lima minit berlalu,
terdengar bunyi perut seseorang berkeroncong hebat menandakan si empunya badan
kelaparan yang amat.
“Abang… Lea
lapar,” ucap Azalea dengan nada sendunya tetapi mata melihat arah luar ingin
menutup rasa malunya atas bunyi keroncongan tadi.
“Haaa, tahu pun
lapar. Janganlah merajuk lagi Lea. Perut tu pun dah ikut merajuk sebab Lea
senyap je dari tadi” kata Azzhael cuba mengembalikan suasana.
“Ok lah, abang
pun lapar juga ni. Lea cadanglah nak makan kat mana,” ujar Azzhael. Semerta
itu, riak wajah adiknya yang mendung bertukar ceria semula.
Sesampainya di
destinasi, Azzhael mengeluarkan kerusi roda yang dilipat di bahagian tempat
duduk belakang serta mengangkat adiknya duduk di atas kerusi roda tersebut.
Masuk sahaja dalam bakeri itu, halwa sejuk pun menyentuh kulit mereka
menghilangkan rasa udara yang membahang di luar.
“Kalau abang
nak tahu, inilah bakeri Arina Natalia tadi. Lea dah lama teringin nak melantak
semua pastri yang ada di bakerinya ini,” ucap Lea teruja.
Azzhael
meliarkan bebola matanya untuk bekerjasama dengan koklea melihat hiasan dan
rekaan dalaman bakeri idola adiknya itu. Rekaan dalamannya, begitu lembut
dengan sentuhan warna merah jambu serta campuran putih pastel gaya gadis zaman
kini. Set kerusi dan meja makan turut dirasakan comel dilihatnya. Apatah lagi
pilihan pastri seperti kek, roti dan pelbagai lagi jenis pastri gaya Itali yang
terhidang membuakkan lagi selera si pengunjung yang hadir ke bakeri ini.
“Comel je abang tengok bakeri ni. Abang pun rasa
macam nak melantak semua menu yang ada,” sementelah itu Azzhael pun mula
memesan hidangan untuk makan tengahari mereka dua beradik.
Sambil-sambil
menikmati kek coklat keju, “ Azalea pun teringin nak ada kedai bakeri macam ni.
Cantik,” ujar Azalea sambil mengunyah kek yang lazat di piringnya dengan mata yang
bersinar-sinar.
Azzhael
tersenyum gembira melihat adiknya yang obses dengan bakeri sejak kecil lagi.
Dengan itu, dia sudah tahu mahu beri hadiah apakepada adiknya dua hari yang
akan datang sempena hari kelahiran Azalea. Usai menunaikan solat Asar di masjid
yang berdekatan, mereka dua beradik pun duduk santai di atas bangku yang
menghadap tasik buatan di negeri itu. Bayu menghembus ke arah mereka berdua
pada petang yang harmoni itu.
“Abang nak bawa
Lea ke satu tempat ni. Abang harap Lea…” belum pun sempat Azzhael menghabiskan
bicaranya, “Lea kan tak menang. Jadi abang tak perlulah bawa Lea ke tempat tu
lagi,” sampuk Lea dengan nada kecewa.
“Lea tak menang
pun abang tetap nak bawa Lea juga. Biasalah adat pertandingan, ada kalah dan
menang. Janji pada diri sendiri tetap lah janji yang harus ditunaikan,” ujar
Azzhael lebar.
“Abang dah
janji pada diri sendiri yang abang akan bawa Lea ke satu tempat ni sekiranya Lea
dah mampu tersenyum.” Terang Azzhael sekaligus menghadiahkan senyuman buat
adiknya yang terpinga tidak mengerti. Tetapi dalam hati hanya tuhan saja yang tahu
betapa resahnya dia untuk mebawa Azalea ke tempat ‘itu’.
Tidak
melengahkan masa, mereka berdua pun bergerak menuju ke kereta Azzhael untuk ke
destinasi yang serasanya bakal mmenghancur luluhkan lagi hati satu-satunya si
adik yang disayangi.
Maafkan abang
Lea!
Sepuluh minit
perjalanan terasa sangat sekejap. Kenderaan Azzhael sudah betul betul berada di
sisi destinasi terakhir mereka pada hari itu.
“Tanah
Perkuburan Islam Al-Amin? Kita nak buat apa kat sini bang?” Soal Azalea
kehairanan. Azzhael hanya mendiamkan dirinya sehinggalah mereka berdua berada
di hadapan kubur babah dan mama mereka.
“Kalau Lea nak
tahu…inilah kubur babah dan mama,”ujar Azzhael bernada sayu. “Ttt..tak mungkin!
Abang kata mereka masih koma di hospital. Abang jangan nak tipu Lea!” suara
Azalea sudah kendengaran serak-serak menahan tangis. Tidak menyangka yang ibu
bapanya selama ini telah selamat disemadikan tanpa dia ketahuan.
“Abang tak
berniat nak…”
“Tak berniatlah sangat! Sanggup abang
manipulasi, bodohkan Lea selama ni! Lea tak sangka! Abang tipu!”Tanpa menunggu
Azzhael menghabiskan penjelasannya, Lea mengundurkan kerusi
rodanya ingin
menjauh dari abang nya yang sanggup menyembunyikan kebenaran
daripadanya.
Dengan tangisan
air mata yang berjejeran bak air terjun, dia menolak kerusi rodanya keluar dari
pagar tanah perkuburan tersebut.
“Lea! Maafkan
abang!”
Biarpun
abangnya merayu memanggil namanya meminta ampun , sedikit pun dia tidak mahu
dengar, tidak mahu menoleh lagi. Rasa sakit sangat dikecewakan oleh abangnya.
Kecewa dengan apa yang berlaku. Tanpa dia sedari, dirinya telah berada tengah
jalan raya. Tidak sempat dia menolak roda dengan kudrat tangannya, dia hanya
mampu pasrah di tengah jalan apabila van yang bergerak ke arahnnya dalam keadaan
laju.
“Leaaaa!”
Jeritan abangnya tidak di endah. Biarlah dirinya berakhir setakat di sini
sahaja. Dia tidak mahu lagi teruskan hidup dengan keadaanya serba kekurangan begini
ditambah lagi dengan kehilangan kedua orang tuanya, ini semua salah dirinya!
Bumm!
Babah, mama,
Lea pun nak ikut. Jangan tinggalkan Lea lagi. Dentuman kuat kedengaran. Jeda seketika.
Tetapi, mengapa dia masih lagi boleh menghirup udara? Bauan rumput memenuhi
mukus hidungnya. Matanya perlahan dibuka. Dalam samar mata yang di penuhi air
mata sebentar tadi, dia dapat melihat kerumunan orang ramai di tengah jalan.
”Panggil
ambulans, panggil ambulans!” Jeritan orang ramai menyedarkan dirinya. Kini dia
sedar dia terbaring di kawasan berumput di sisi jalan.
Dengan kudrat
yang masih ada, dia cuba untuk merangkak ke arah kerumunan manusia di tengah
jalan. Darah merah pekat kelihatan mengalir di tengah jalanan.
“Lelaki ini
bertindak menolak perempuan di atas kerusi roda itu. Tahu-tahu dia dilanggar.
Innalillahiwainnailaihi rojiun,” ujar seorang saksi kepada yang lain.
‘Abang yang
tolak aku?’ dengar saja ucapan dari salah seorang saksi, dia mempercepatkan
pergerakannya masuk ke dalam kerumunan orang ramai demi memastikan itu bukanlah
abangnya.
Ekspektasinya
punah serta-merta. Melihatkan sekujur badan yang tidak bergerak dan penuh
dengan darah itu, Azalea mulai sebak bahawa itu sememangnya Azzhael. Hatinya
remuk, berkecai.
“Abang! Bangunlah
jangan tinggalkan Lea macam ni! Lea minta maaf! Abang!” Dia memeluk erat tubuh
abangnya yang tidak bergerak itu dan menangis semahu-mahunya di atas sekujur
tubuh Azzhael. Ketika itu bertambah lagi skala kekecewaan dalam hidupnya
selepas semua insan yang disayanginya hilang sekelip mata. Dia menyesal, kecewa
sangat! Dunia ini tidak adil baginya! Kemudian, Azalea pun pengsan mengharapkan
dia juga dapat turut mengikuti ahli keluarganya menemui sang ilahi.
Petang itu,
hujan pun turun selebat-lebatnya umpama turut sama menangisi kekecewaan hati si
gadis yang kehilangan segala-galanya di dunia ini.
Dua hari
kemudian,
Sekembalinya
Azalea dari melawat tanah perkuburan, dia masih tidak boleh terima yang
abangnya akan pergi mengikuti babah dan mamanya dahulu. Kenapa bukan dia?
Sepatutnya dia yang perlu mati bukan abangnya!
Kecewa dengan pemergian tiga insan yang
disayangi bertambah lagi dengan kecewa atas nasib dirinya. Sudahlah cacat,
bertambah lagi dengan hidupnya kini yang sebatang kara. Kecewanya!
Hari itu, dia
menghabiskan masa di bilik arwah abangnya, menangis semahu-mahunya di atas
katil yang masih beraroma abangnya. Dia sudah tidak tahu mahu buat apa lagi
selepas ini. Azzhael yang selalu ada di sisinya sudah tiada untuk menyokong
dirinya. Setelah penat menghamburkan air mata, dia pun bergerak ke arah meja
kerja Azzhael. Mata dia terpandangkan sampul putih yang bertulis nama penuh dirinya
terletak bersebelahan kotak kecil berwarna biru.
Kemudian, dia
hanya mampu memeluk sampul surat itu tanpa ingin menelaah isi dalamnya. Air
matanya berjuraian lagi. Rindu akan keletah dan kenangan bersama Azzhael
setelah dua hari pemergiannya. Sesungguhnya semua rasa yang menyentak hati
Azalea bercampur baur dan semuanya bersatu menjadi sebuah rasa iaitu kecewa.
Kehadapan
adikku Azalea Binti Azzri,
Surat ini
ditulis untuk hari jadi Lea minggu depan. Abang nak luahkan isi hati abang melalui
surat ini barulah Lea ada rasa syahdu sewaktu baca surat ini nanti.
Abang tahu,
bukan mudah untuk hidup dengan keadaan yang
‘baru’. Abang cuba untuk buatkan Lea tersesnyum tanpa rasa kecewa. Tetapi abang
selalu perasan air muka Lea sentiasa cuba untuk menahan rasa kecewa yang
menyelubungi Lea. Abang kan pakar psikologi, semestinyalah tahu apa yang Lea
rasa melalui air muka yang Lea pamerkan.
Akhirul kalam,
abang minta maaf kalau ada terguriskan hati Lea sepanjang Abang jaga Lea. Abang
harap Lea dapat buang rasa kecewa tu jauh-jauh dan jangan sesekali salahkan
diri sendiri. Lea adik yang kuat, abang tahu itu. Abang selalu doakan supaya
Lea dapat menjadi pembakar bakeri seperti yang Lea idamkan suatu hari nanti !
Aminn. Sekian.
*Disertakan kunci untuk kedai bakeri idaman Lea di dalam kotak biru di atas meja abang. Selamat Hari Lahir yang ke-20 Azalea Azzri!
Salam sayang abangmu yang hensem.
Tamat.
#CeritaPendek
#CerpenMelayu
#CeritaRakyat #SasteraMelayu #FiksyenMelayu #CerpenMalaysia #KaryaSastera #PenulisanKreatif #KisahPendek #KomunitiPenulis #KisahMelayu #BlogCerita
#CeritaOnline
Comments
Post a Comment