Setelah 3 bulan berkhidmat, Ayana masih teringat detik Kak Aqilah memanggilnya untuk berbincang mengenai pertukaran bahagian.
"Kak rasa Ayana sesuai jaga bahagian stationery, gifts and lifestyle, dan juga toys and games. Lagipun, bahagian tu tak penat mana pun. And awak boleh asah mengenai product knowledge, " ujar Kak Aqilah, selaku store manager nya dengan senyuman.
"Akak dah suruh, Ragesh ajar awak serba sedikit untuk department stationery ya,"
Ayana angguk, kelihatan teruja dalam masa yang sama berdebar lah juga. Yalah, nak buat benda baru dalam hidup. Dalam fikirannya, bahagian alat tulis dan hadiah mestilah bahagian yang santai—kanak-kanak yang datang akan bermain, mungkin sesekali kena susun barang atau lap rak. Namun, setelah 3 minggu berlalu jangkaannya ternyata meleset sama sekali.
"Hah, Ayana, umur berapa?" soal Ragesh ingin berbasa-basi sebelum buat briefing ringkas department stationery .
"21" jawab Ayana ringkas
"Oh lah muda lagi," Ragesh terkejut. Selama ni dia ingat Ayana tua darinya. Namun ternyata Ragesh yang lebih tua 3 tahun dari Ayana.
" Sebelum ni kerja apa?" Soalnya lagi.
"Housekeeping." Ringkas Ayana jawab. Dia tidak mahu mengingati lagi pekerjaan yang agak trauma baginya.
Setelah itu, sesi briefing dimulakan dari bahagian gifts and lifestyle.
"Kalau Ayana nak tahu, kita nama je department stationery, tapi kita bukan cover stationery je, tapi kita cover jugak bahagian gifts and lifestyle, toys and game. Senang cakap, everything yang non-book," terang Ragesh dengan jelas.
Muka Ayana berubah kelat serta-merta namun cuba ditahan-tahan. Dia sendiri pun tidak tahu kenapa dia rasa rengsek sebegitu.
'Aku kerja kedai buku untuk hadap buku, bukan benda lain..hanat tul'
Hati Ayana mula memaki. Panas dia rasakan.
Tugasan pertama yang Ayana dapat selepas dipindahkan department,
Pada hari pertama di bahagian baru itu, Ayana terkejut melihat deretan barang yang perlu dikemas setiap hari. Dari pen, buku nota, alat tulis hiasan, hingga permainan kanak-kanak, semuanya perlu dipastikan tersusun rapi. Ayana mula menyedari betapa sibuknya bahagian ini, terutama apabila pelanggan datang memilih barang dan meninggalkan susunan kucar-kacir. Bahasa yang mereka gunakan ialah Housekeep.
Ahh, sudah. Memang dirinya ditakdirkan untuk menjadi housekeeper gamaknya. Mujur saja lah dia memang sejenis makhluk yang pengemas.
Kemudian, hujung minggu pertama tiba, disusuli cuti sekolah. Kedai mula dipenuhi oleh ibu bapa dan kanak-kanak yang bersemangat memilih mainan dan alat tulis. Ayana tak menang tangan melayani setiap pertanyaan—ada yang bertanya warna pensil paling menarik, ada yang minta Ayana cadangkan hadiah hari jadi, malah ada juga yang bertanya tentang permainan *puzzle*.
“Akak, ada jual permainan yang macam Tetris tak?” tanya seorang budak lelaki.
"Adik cuba tengok dekat rak sebelah sana," jawab Ayana sambil tersenyum. Namun belum sempat dia melangkah, seorang lagi ibu datang bertanya tentang hadiah yang sesuai untuk anak gadis berusia tujuh tahun. Ayana merasa seperti sebuah mesin pencadang hadiah, bergerak ke sana sini, tanpa henti.
Setiap kali Ayana mengemas, rak mainan akan berantakan semula dalam masa beberapa minit. Dia menghela nafas panjang sambil melirik jam, menunggu saat habis kerja. “Ingatkan kerja kat sini santai…” keluhnya perlahan.
Namun, di sebalik keletihan itu, Ayana mula melihat sisi lain. Dia belajar banyak tentang produk, berinteraksi dengan pelbagai jenis pelanggan, malah kadang-kadang gelak sendirian melihat kanak-kanak yang teruja dengan barang mainan. Meski terasa penat, Ayana kini tahu bahawa dia bukan hanya "menjual barang," tetapi juga mencipta senyuman buat pelanggan yang pulang gembira.
Comments
Post a Comment