Doa
-->
Skip to main content
Setiap hari, Ayana duduk di hadapan komputer riba, menatap skrin yang menampilkan pelbagai jenis pekerjaan dari pekerjaan yang dia pernah dengar sehinggalah yang tidak pernah didengarinya. Satu perasaan cemas menyelubungi dirinya. Selepas tamat pengajian, dia tidak pernah menyangka bahawa mencari pekerjaan akan menjadi cabaran yang begitu sukar. Pasaran kerja kelihatan sempit, dan setiap permohonan yang dihantar, berakhir dengan penolakan atau tiada jawapan sama sekali.
"Macam mana nak nak cari lagi duit?" bisik Ayana dalam hati.
Dia telah mengisi berpuluh-puluh borang permohonan kerja dalam pelbagai bidang, namun jawapannya sama sahaja – tiada yang berminat. Sehingga suatu hari, ketika dia hampir berputus asa, Ayana menerima panggilan daripada syarikat A yang menawarkan program latihan selama lima bulan. Program itu dinamakan K-Youth, khusus untuk graduan diploma mahupun ijazah sarjana muda yang masih menganggur.
"Hi ini Ayana Nafisa di talian ke?"
"Ye saya, siapa ni?"
"Saya Farisha, recruiter dari company A sdn. bhd. Awak ada apply berminat ke dengan program K-youth under syarikat kami? Tapi saya nak maklumkan untuk IT dah tak available tau. Yang tinggal cuma Hospitaliti je. Masih berminat?"
Bidang hospitaliti bukanlah pilihan utamanya. Malah, dia tidak pernah membayangkan bekerja dalam bidang tersebut. Ayana lebih tertarik dengan kerja yang melibatkan IT atau perpustakaan. Tetapi dalam keadaan terdesak ini, dia tidak mempunyai banyak pilihan.
"Hmm...Berminat."
"Ok. kalau macam tu, boleh saya tanya beberapa soalan?"
"Boleh. Silakan." Pasrah saja Ayana menjawab. Sekiranya dia menolak, terasa rugi lah pula.
Bila lagi dia nak merasa pegang gaji RM 1800 kan? Dengan konvokesyen pun masih belum dengar khabar berita lagi demi transkrip diplomanya yang asli. Dengan adanya transkrip tersebut, barulah dia boleh memohon kerja jawatan setaraf diplomanya.
Namun, tahu-tahu sahajalah universiti yang satu ini, queue istiadat Konvokesyen tu memang lambat.
"Tak apa, mungkin ini peluang yang saya perlu ambil," fikir Ayana. "Sekurang-kurangnya, saya dapat pengalaman baru. Mungkin saya akan suka nanti."
Ayana akhirnya mendaftar dalam program K-Youth. Bulan pertama dihabiskan dengan kelas online, di mana dia belajar tentang asas-asas pengendalian emosi, etika kerja, dan cara bersiap untuk temuduga oleh jurulatih syarikat A sdn. Bhd. Syarikat A menyediakan pelbagai modul yang merangkumi persediaan untuk masuk ke alam pekerjaan dan sebagainya. Semua ini adalah perkara baru baginya, dan walaupun dia merasa agak canggung, Ayana cuba bersikap positif.
"Ini semua pelajaran baru, Ayana. Kalau pandai bawa diri, mungkin kau boleh berjaya dalam bidang ni," dia cuba meyakinkan dirinya sendiri. Dia tekun mengikuti kelas, mencatat nota, dan belajar dengan sepenuh hati.
Sebulan berlalu, dan kini tiba masa untuk menjalani latihan di lapangan. Ayana ditempatkan di Hotel Seri Atlantic, sebuah hotel 4 bintang yang terletak di tengah-tengah ibu kota. Dia merasa berdebar-debar pada hari pertama melangkah masuk ke hotel itu. Suasana mewah dan profesional di sekitar membuatkan dia merasa kecil, tetapi dia teruskan langkahnya dengan yakin.
1: "Keliru Pada Hari Pertama"
Ayana melangkah masuk ke bilik seminar yang dipenuhi dengan kerusi-kerusi tersusun rapi. Hari itu adalah hari orientasi di Hotel Seri Atlantic, di mana semua pekerja baru, termasuk dia serta pelajar praktikal dari Indonesia, akan diperkenalkan dengan budaya kerja hotel dan peraturan yang perlu dipatuhi. Suasana agak tenang, dengan beberapa pekerja baru yang kelihatan tidak sabar dan resah menunggu sesi bermula.
Tidak lama kemudian, seorang lelaki berbadan tegap dengan senyuman ramah melangkah masuk. "Selamat pagi semua! Saya Encik Haris, HR di sini. Tahniah kerana terpilih menyertai Hotel Seri Atlantic. Hari ini kita akan ada sesi orientasi, dan jangan risau, saya akan buat sesi ni seseronok yang mungkin."
Ayana tersenyum kecil, cuba menenangkan diri. Ini adalah pengalaman pertama bekerja di hotel, dan dia tidak tahu apa yang harus dijangkakan.
Sesi orientasi dimulakan dengan pengenalan mengenai carta organisasi pengurusan hotel, sejarah hotel, peraturan kerja, dan etika yang perlu dijaga. Selepas itu, sesi Ice breaking pun bermula. Hari orientasi tersebut diakhiri dengan sesi tour seluruh floor dan lokasi department yang ada di hotel tersebut supaya kami tidak tersesat.
"Halo semuanya, saya Rina, intern dari kolej Indonesia. Senang dapat kenal dengan kalian semua. Saya juga masih belajar, jadi kita boleh saling membantu ya," katanya dengan senyuman manis.
Ayana merasa sedikit lega mendengar Rina berbicara. Sekurang-kurangnya ada seseorang yang juga baru dalam suasana ini. Mereka berdua berbual seketika sebelum sesi orientasi diteruskan. Selepas pengenalan teori, mereka semua dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk memulakan latihan praktikal. Ayana dan Rina ditempatkan di bahagian restoran sebagai waitress.
"Okay, Ayana dan Rina, tugas pertama kamu adalah menyambut tetamu, berikan mereka menu dan ambil pesanan," kata Kak Shima, seorang pekerja senior. "Pastikan semua pesanan tepat dan senyum selalu!"
Ayana dan Rina mengangguk, cuba menyesuaikan diri dengan tugas baru mereka. Semuanya berjalan lancar pada mulanya. Ayana berjaya mengambil pesanan tanpa masalah, dan Rina nampaknya juga menikmati tugasnya. Namun, sebelum Ayana sempat berasa selesa, seorang staf lain datang memanggil mereka.
"Kamu berdua kena ke banquet sekarang. Ada acara besar, dan kami kekurangan tenaga kerja."
"Banquet?" tanya Ayana, terkejut.
"Ya, cepat, masa tak banyak!" jawab staf itu sambil menggesa mereka berdua bergerak.
Ayana dan Rina ditarik ke dewan besar di mana majlis perkahwinan sedang berlangsung. Dewan itu penuh dengan tetamu, dan mereka berdua diberikan tugas menghidangkan makanan di meja VIP. Dulang besar yang penuh dengan makanan harus dibawa dengan cermat, dan setiap langkah memerlukan fokus yang tinggi.
Ayana berasa semakin keliru. Dari waitress ke banquet, dia terpaksa menyesuaikan diri dengan cepat dalam persekitaran yang berbeza. Namun, ketika dia cuba menyesuaikan diri dengan tugas baru itu, seorang staf lain tiba-tiba muncul.
"Ayana, kamu kena ke housekeeping sekarang. Ada kekurangan staf, dan mereka perlukan bantuan segera."
Ayana hampir terlepas dulang di tangannya. "Housekeeping pula?"
"Ya, cepatlah. Semua kerja ni penting."
Ayana dibawa ke bilik housekeeping di mana dia diperkenalkan kepada Auntie Munia yang akan menjadi mentornya. "Jangan risau, Ayana. Kita mula perlahan-lahan, nanti kamu biasa lah," kata Munia dengan senyuman mesra.
Dan tugas pertamanya adalah memvakum koridor lantai 30. Dikenali juga club floor, yang hanya mampu ditempah oleh manusia yang bermandikan duit.
Petang itu, selepas waktu bekerja, Ayana duduk termenung di bilik locker pekerja. Fikirannya melayang, cuba mencerna apa yang baru sahaja berlaku.
"Aku ni kerja apa sebenarnya?" Ayana bertanya kepada dirinya sendiri. Dia teringat kembali hari orientasi yang sepatutnya memberikan panduan jelas tentang tugasnya, tetapi sebaliknya, dia rasa lebih keliru daripada sebelumnya.
Rina masuk ke dalam bilik dengan senyuman lelah. "Gimana hari pertamamu, Ayana? Kita ini kayak bola ya, dilempar sana sini."
Ayana tertawa kecil, walaupun keletihan masih jelas di wajahnya. "Iya, aku pun nggak tahu apa kerjaanku yang sebenarnya hari ini."
Rina mengangguk sambil duduk di katil. "Tapi kita harus kuat, ya? Hari ini saja sudah banyak belajar."
Ayana mengangguk, cuba menguatkan hati. "Betul, mungkin ini semua adalah proses pembelajaran. Esok mungkin lebih baik."
"Ayana, naik bilik HR sekarang."
Mesej dari Encik Haris, HR manager dibaca perlahan.
"Rina, aku harus ketemu Encik Haris duluan. Dia sudah panggil." pamitan Ayana dibalas lambaian Rina.
Sesampai saja Ayana di dalam pejabat HR, Ayana disuruh masuk ke bilik Encik Haris.
"Ye, Encik Haris. Kenapa saya dipanggil?" gugup Ayana ketika ini. Yelah, dia ada buat silap kat mana-mana ke?
"Ha, Ayana. Duduk dulu tarik nafas. Jangan takut dengan saya," sempat pula Encik Haris bergurau.
"Macam mana first day harini? Ok?"
"Ok je." senada saja jawapan Ayana.
'Tak ok lah mangkuk!' Hati Ayana hanya mampu menjerit kegeraman.
"Macam ni, mulai esok... Awak stay housekeeping sampai habis 4 bulan training. Boleh?"
"Hmm.. ok" Finally. Ini yang ditunggu-tunggu!
Selepas perjumpaan dengan Encik Haris tadi, dia agak lega sedikit lah juga sebab dia sudah tidak perlu menghadap crowded yang paling tidak digemarinya. At least, housekeeping buat kerja diam-diam tak jumpa orang sangat.
Namun, dalam hatinya, dia tahu bahawa kerja ini mungkin jauh lebih sukar daripada apa yang dia bayangkan. Ayana berbaring di katil, matanya terpejam rapat, cuba untuk tidur dengan harapan esok akan lebih mudah baginya. Namun, dia tidak dapat menghalau perasaan keliru dan letih yang semakin menebal dalam dirinya.
Dengan perlahan-lahan, Ayana mulai sedar bahawa bidang hospitaliti ini bukanlah mudah. Namun, dia tetap cuba bersikap positif, walaupun hari pertamanya adalah permulaan yang cukup kacau-bilau.
Selepas beberapa hari menjadi housekeeper, Ayana mula merasakan beban kerja yang semakin berat. Hari-harinya menjadi rutin yang membosankan – mencuci tandas, mengelap cermin, mengangkut cadar dan tuala kotor, dan memvakum rambut, kotoran serta habuk di lantai. Kerja-kerja ini mungkin nampak mudah, tetapi memerlukan tenaga fizikal yang tidaklah sedikit. Selain itu, suasana di tempat kerja kadangkala menekan.
"Hari-hari cuci tandas, otak aku macam dah tak berfungsi," bisik Ayana dalam hati ketika dia sedang membersihkan tandas pada suatu hari. Dia mula meragui keputusannya untuk menceburi bidang ini. "Adakah ini yang aku mahu lakukan sepanjang hidup aku?"
Suatu hari, selepas pulang kerja, Ayana duduk di katilnya dan termenung panjang. Badannya penat sangat. Nak buat aktiviti lain pun, dah tak berdaya, tapi fikirannya lebih penat lagi. Dia merasa seolah-olah terperangkap dalam pilihan yang telah dibuatnya. Dia cuba mengingatkan dirinya untuk bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia mempunyai pekerjaan, tetapi sukar untuk menghalau perasaan kecewa yang semakin menebal.
"Adakah aku sanggup teruskan 4 bulan lagi?" fikir Ayana.
Dia tahu bahawa kerja ini bukanlah sesuatu yang dia cintai, dan walaupun dia cuba bersikap positif, hakikatnya kerja ini tidak memberikan kepuasan yang diharapkan. Dia terfikir tentang cita-citanya untuk menjadi pustakawan, dan bagaimana impian itu semakin jauh dari genggaman dek pasaran untuk lepasan diploma sangatlah tipis di dalam negara ini.
Dalam diam, Ayana membuat keputusan. Dia harus menamatkan latihan ini pada minggu hadapan juga dengan alasan dapat kerja yang sesuai dengan dirinya, tetapi selepas itu, dia akan berusaha mencari jalan lain. Mungkin ini bukan rezekinya dalam bidang hospitaliti, tetapi pengalaman ini memberikan pelajaran yang berharga – dia tidak akan berkompromi lagi dengan pilihannya selepas ini.
Ayana akhirnya menyedari bahawa tidak semua yang kita pilih itu adalah jalan yang betul, tetapi setiap pilihan itu pasti memberikan pengalaman dan pengajaran yang boleh upgrade kan lagi kualiti dirinya.
Comments
Post a Comment